By Syeikh Muhammad Nazrul Nasir.
1. Bagi wanita tiada tempat yang khusus diletakkan. Terpulang kepada mereka untuk memakai
cincin dimana sahaja anggota. Samada di kesemua jari tangan atau jari
kaki sekalipun. Ini kerana itu adalah perhiasan bagi mereka.
2.
Para ulama berbeza pandangan tentang kedudukan jari yang sunnah
dipakaikan cincin bagi lelaki. Para ulama Hanafiyah mengatakan bahawa
disunnahkan bagi lelaki untuk memakai cincin di jari kelingking sebelah
kiri dan bukan pada jari lain walaupun kanan. Sebahagian daripada ulama
Hanafiyah mengatakan bahawa diharuskan untuk memakai cincin pada jari
kelingking kanan.
3. Manakala al-Imam Malik radhiyallahu
anhu, guru kepada al-Imam al-Syafie radhiyallahu anhu mengatakan bahawa
disunnahkan memakai cincin di jari kelingking kiri dan beliau sendiri
memakai cincin di jari kelingking kiri. Al-Imam Ibn al-Arabi al-Maliki
mengatakan bahawa sunnah memakai cincin pada jari kelingking kiri dan
makruh memakainya pada kelingking kanan.
4. Para ulama
Syafieyah mengatakan bahawa harus untuk dipakai cincin pada jari
kelingking kanan atau kiri sekalipun. Tetapi pandangan yang masyhur
ialah memakainya pada jari kelingking kanan kerana ianya merupakan
tempat untuk berhias. Manakala memakai cincin pada jari manis adalah
dibenarkan. Jari tengah, telunjuk dan ibu jari adalah dilarang bagi kaum
lelaki untuk meletakkan cincin padanya. Ini kerana terdapat larangan
daripada Baginda sallallahu alaihi wasallam kepada Sayyiduna Ali
radhiyallahu anhu untuk memakai cincin pada jari-jari tersebut.
5. Para ulama Hanabilah pula berpandangan bahawa afdhal memakai
cincin pada jari kelingking kiri. Mereka juga berpandangan bahawa
dibenarkan untuk memakai cincin pada jari manis dan ibu jari. Manakala
jari telunjuk dan jari tengah adalah dilarang untuk meletakkan cincin
padanya kerana terdapat larangan yang jelas daripada Baginda sallallahu
alaihi wasallam.
KE ARAH MANAKAH BATU CINCIN DIPUSING?
1. Para ulama mengatakan bahawa dibenarkan untuk kita menzahirkan
batu cincin ke atas. Namun yang lebih afdhalnya menurut sunnah Baginda
sallallahu alaihi wasallam adalah dengan memusingkan arah batu tersebut
ke telapak tangan.
Semoga kita semua dapat mengambil manfaat dengan perbahasan ini bagi menghidupkan sunnah Baginda sallallahu alaihi wasallam.
No comments:
Post a Comment